Ceramah Dilarang, Maksiat Dibiarkan


“SAYA tidak berkecil hati, cuma terkilan, tetapi akan patuh kepada arahan berkenaan.”

Demikian kata penceramah terkenal, Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz, 71, selepas dilarang memberi ceramah di Johor.

Beliau berkata, larangan itu bagaimanapun kurang jelas kerana tidak dihubungi mana-mana pihak mengenainya.

Berita penuh: https://www.hmetro.com.my/utama/2018/01/301309/saya-terkilan-sedikit-saja, Isnin, 8 Januari 2018

Komentar:

Larangan terhadap golongan ulama berceramah bukanlah sesuatu yang baru di negara kita. Malahan sebelum Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz, telah ramai ulama yang tersenarai dilarang memberi ceramah di negeri Johor dengan alasan tidak mendapat tauliah.

Terdahulu, Kerajaan Johor melarang Ustaz Haslin Baharim dan Ismail Menk daripada menyampaikan ceramah di negeri berkenaan. (Sumber: http://www.sinarharian.com.my/nasional/johor-larang-ceramah-ustaz-haslin-ismail-menk-1.750815)

Umum mengetahui bahawa mana-mana pendakwah atau penceramah yang tidak sealiran dengan kerajaan negeri mahupun persekutuan pasti akan disekat dan dihalang daripada berceramah. Malah ada di antara mereka yang dianggap sesat dan terkeluar daripada aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sedangkan sebahagian aktiviti maksiat yang jelas kesesatannya tidak pula diambil tindakan malah ada yang diberikan lesen.

Tragedi yang menimpa Dato Abu Hassan Din Al-Hafiz ini bukanlah sesuatu yang pelik dalam sistem sekular yang dianuti oleh negara kita. Aktiviti untuk berdakwah seperti berceramah di masjid perlulah mendapat kebenaran kerajaan dengan memohon ‘tauliah’ daripada Jabatan Agama Islam Negeri. Sekiranya mereka daripada golongan pembangkang atau aliran yang bertentangan dengan kerajaan, sudah pasti mereka akan disekat daripada menyampaikan kebenaran ditengah-tengah umat.

Maka dapat kita simpulkan bahawa tauliah itu telah menjadi alat yang digunakan oleh pemerintah bagi menapis golongan pendakwah supaya hanya menyampaikan ceramah yang selari dengan kehendak pemerintah. Sedangkan Rasulullah S.A.W. sendiri menyuruh kita menyampaikan ilmu agama yang dipelajari walaupun satu ayat. Sabda baginda SAW yang bermaksud:

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً
“Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat” [HR Al-Bukhari].

Islam tidak pernah meletakkan apa-apa syarat dalam menyampaikan kebenaran Islam. Bahkan hadis di atas menunjukkan bahawa tidak perlu menjadi ustaz atau ulama’ terkenal pun dalam menyampaikan ajaran Islam.

Seharusnya sebelum melarang seseorang daripada berceramah, pihak pemerintah mestilah menyiasat dan memberi peluang kepada penceramah tersebut untuk membela diri dengan hujahnya. Sekiranya telah jelas dan nyata kesesatan mereka barulah dilarang daripada menyampaikan ceramahnya. Namun apa yang berlaku terhadap Dato Abu Hassan Din Al-Hafiz ialah sebaliknya. Beliau sendiri tidak mengetahui tentang larangan tersebut sehinggalah beliau dimaklumkan oleh pihak masjid.

Inilah yang berlaku sekiranya sebuah negara tidak menerapkan hukum Islam sebaliknya menerapkan pemikiran sekular. Ceramah agama disekat tetapi program maksiat tidak pula dihalang malah diluluskan. Oleh itu, menjadi kewajipan kita untuk memastikan hukum Islam dapat diterapkan oleh pemerintah agar kebenaran Islam dapat disebarkan tanpa disekat mengikut kemahuan nafsu pemerintah.

Ibnu Shams
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia